Sunday, May 30, 2010

Sambil Bermain Kita Belajar
Oleh Rohana Mustaffa

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Untuk boleh membaca, kita lazimnya dikenalkan dengan huruf 'a' hingga 'z' mengikut turutan di dalam mana-mana buku, atau oleh guru dan ibu bapa yang cuba mengajar anak-anak.

Namun jika mudah bagi sebilangan besar kanak-kanak untuk mengenal abjad melalui cara ini, ramai pula yang tercicir dan akibatnya langsung tidak boleh membaca.

Kenapa tidak cuba dengan huruf 'c' dulu, atau 'o' dan lain-lain? Untuk membentuk abjad juga tidak semestinya menggunakan pensil semata-mata.

Johan guru inovatif 2005 Mek Ramah Hassan yang mencipta kaedah menggunakan kad lipatan dan doh untuk membantu muridnya, telah membuktikan dalam masa dua bulan anak-anak muridnya berjaya mengecam dan membentuk huruf kecil 'a' hingga 'z' dengan tepat tanpa mengikut kaedah lazim ini.

Kad lipatan itu membahagikan 26 abjad kepada 15 kad. Umpamanya kad huruf 'c' kalau dilipat dari belakang ke depan secara serentak, akan membentuk huruf baru 'e'. Doh pula digunakan mengikut warna untuk digentel membentuk setiap huruf yang diperkenalkan.

Kalau doh sudah habis, ada resepi untuk membuat yang baru.

Mek Ramah ialah guru berpengalaman selama 14 tahun mengajar di sekolah rendah dan pernah menjadi jurulatih utama prasekolah negeri Kelantan.

Untuk mengembangkan kaedah pengajaran ciptaan Mek Ramah itu, kini kit kad lipatan dan doh untuk mengenal huruf secara mudah ini dikeluarkan sebagai produk i-play terbitan Intellect Enhance Sdn Bhd, anak syarikat Educate To Learn (e2L) Sdn Bhd.

"Kami dapati kit ini sesuai dipromosi dan bertepatan dengan konsep i-play, membangunkan sumber dan produk pembelajaran khas untuk sektor pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak," kata Farah Mahami Mustapha Kamal kepada Bernama.

Farah Mahami ialah Pengarah Eksekutif e2L Sdn Bhd.

BELAJAR MELALUI BERMAIN

e2L sendiri ditubuhkan pada 2004 untuk menyokong pendedahan "Belajar melalui Bermain" iaitu menggalakkan kanak-kanak bermain dan meneroka melalui pelbagai alat permainan dan sumber yang bersesuaian dengan perkembangan mereka,.

"Bermain menggalakkan kanak-kanak berinteraksi, berimaginasi, berdaya cipta, berinovasi dan memupuk sikap ingin tahu dalam berhubung dengan alam di sekitar mereka.

"Kami percaya dengan menggalakkan kanak-kanak bermain dan meneroka melalui pelbagai alat permainan dan sumber yang bersesuaian dengan perkembangan mereka, perkembangan menyeluruh kanak-kanak iaitu fizikal, sosio-emosi, kognitif, estetika, bahasa dan rohani akan terasuh," katanya menjelaskan falsafah e2L dalam menyokong pendedahan "Belajar melalui Bermain" ini.

Selaras dengan itu, e2L mengeluarkan produk i-play siri kotak permainan pusat pembelajaran iaitu set inovatif yang mengandungi pelbagai permainan dan sumber yang direka khas untuk taska, tadika, pusat jagaan, pusat aktiviti kanak-kanak dan perpustakaan permainan.

Untuk perpustakaan permainan juga e2L mengeluarkan i-play thematic series atau siri kotak permainan bertema dan beberapa produk ICT untuk membantu pengurusan perjalanan perpustakaan permainan dan pengurusan taska dan tadika.

"Konsep produk i-play berasaskan lima nilai yang membentuk pembangunan keperibadian dan kompetensi kanak-kanak iaitu kepercayaan kepada tuhan, keutamaan kekeluargaan, gaya hidup sihat dan kesukarelawan," katanya sambil menjelaskan bahawa semua model i-play dibangunkan di dalam negara.

PERPUSTAKAAN PERMAINAN

Malah dalam dua tahun awal penubuhannya e2L memang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan produk i-play, serta usaha membangunkan kurikulum untuk program sijil dan diploma bagi institusi penyelidikan awal kanak-kanaknya dan produk konsultansi di bawah satu lagi anak syarikatnya, Total Genius Sdn Bhd.

"Umpamanya untuk produk set kotak permainan, kami pastikan kanak-kanak lima tahun disediakan dengan kemudahan bersesuaian dengan keperluan mental seusianya dan kurikulum kami pula harus menepati konsep pendidikan awal kanak-kanak dan khidmat konsultansi kami bersesuaian dengan kehendak pembukaan pusat asuhan kanak-kanak atau bilik permainan sesebuah pusat aktiviti kanak-kanak.

"Kami juga memastikan program membentuk keperibadian dan kompetensi kanak-kanak e2L ini selaras dengan suasana Malaysia. Oleh itu perkhidmatan yang kami tawarkan, pembentukan dan bekalannya adalah berasaskan penyelidikan kerana jika mahu membuat keputusan yang bermaklumat, perlu ada data yang tepat yang terkini dan terkumpul dalam cara yang disahkan secara akademik," katanya.

Dua penyelidikan terkini yang dijalankan e2L ialah keberkesanan program perpustakaaan permainannya dan keberkesanan perpustakaan permainan berlatarkan Orang Asli. Perkhidmatan perpustakaan permainan yang ditawarkannya disasarkan kepada perbadanan untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Setakat ini e2L membantu membuka 22 perpustakaan permainan yang dibiayai beberapa syarikat dan badan korporat dan idea perpustakaan ini disokong oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan kebanyakannya ditempatkan di perpustakaan desa di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Johor.

Yang menariknya e2L telah membantu membuka lima perpustakaan permainan di petempatan Orang Asli di Desa Temuan, Bukit Lanjan , Selangor, Sungai Tiang di Taman Negara Royal Belum Temenggor, Kampung Semelor dan Air Banun ketiga-tiganya di Gerik, Perak serta Kampung Orang Asli Sungai Bil, Slim River, Perak.

Setiap perpustakaan akan mengandungi sekurang-kurangnya 20 kotak permainan, 12 kotak siri permainan pusat pembelajaran dan lapan siri kotak permainan bertema.

Menurut Farah Mahami, perpustakaan paling mahal yang e2L tolong bukakan berharga RM130,000, lengkap dengan segala bahan untuk konsep "Belajar melalui Bermain".

"Dalam hal ini, kami membekal, kami buka dan kami latih petugas yang mengendalikan perpustakaan permainan ini dan kami bekerjasama dengan Perpustakaan Negara yang menyediakan perpustakaan dan sukarelawannya," katanya.

Semua urusan mentadbir, membekal, memantau dan menyalurkan maklumat serta data bimbingan tadika, pusat aktiviti kanak-kanak dan perpustakaan permainan ini dilakukan melalui rangkaian sistem ICT i-play yang efisien.

e2L mempunyai i-play portal untuk sesiapa yang berminat dengan perkhidmatannya, i-play TLManager, untuk kemudahan pengurusan perpustakaan permainan, i-play TaskaManager dan TadikaManager untuk membantu pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak dan i-play centralised reporting system - sistem web yang membolehkan organisasi menerima dan menguruskan data dari semua pusat di bawah jagaan atau bidang kuasanya.

Sistem pengurusan penjagaan kanak-kanak ini (CCMS) membolehkan pengurusan sesebuah tadika misalnya menggunakannya untuk merekodkan semua butiran kanak-kanak di bawah penjagaannya, latar belakang keluarga,, kewangan dan bajet operasi serta prestasi kanak-kanak supaya apabila diperlukan, maklumat itu boleh didapatkan dengan segera dan mudah.

"Ini bagi memastikan aspek urusan pentadbiran boleh dilakukan dengan mengambil hanya 20 peratus masa anda supaya yang selebihnya 80 peratus lagi boleh ditumpukan kepada pembinaan diri kanak-kanak," kata Farah Mahami.

TIADA TADIKA FRANCAIS

Walaupun menyediakan khidmat perunding cara untuk penubuhan taska dan tadika, e2L tidak membuka taska atau tadikanya sendiri tetapi mempunyai makmal yang menyediakan suasana belajar dan persekitaran sebuah tadika yang ia promosikan.

Di sinilah semua konsep i-play dipraktikkan khususnya untuk pelajar-pelajar Institut Penyelidikan Awal Kanak-kanak e2L menjalani latihan praktikal mereka.

"Kursus sijil dan diploma (dua setengah tahun) kami adalah yang termurah (RM10,000) bagi menyediakan tenaga pendidik yang berkaliber dan yang bersesuaian dengan keperluan mendidik kanak-kanak secara menyeluruh," katanya.

Kumpulan pertama 16 orang pelajar yang mengikuti pengajian peringkat diploma di institut ini akan menjadi graduan tidak lama lagi sementara beratus lagi sudah mengikuti pelbagai bengkel kemahiran pendidikan awal kanak-kanak.

Institut itu juga mengadakan kursus Pengurusan Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pengurusan Organisasi Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Kesemua program dan kemudahan yang diperkenal e2L ini ialah selaras dengan misinya untuk mengkaji, membangunkan dan membekalkan sumber pembelajaran dan alat permainan yang menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak dalam sektor pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak dan mampu dimiliki semua.

BERKONGSI SUASANA PEMBELAJARAN KONDUSIF

Melihatkan perancangan dan produk yang dikeluarkan, sudah tentu e2L mengeluarkan modal yang besar untuk proses penyelidikan dan pembangunan, membeli dan mengimport bahan serta peralatan.

Beliau mengakui itu perlu dilakukan terutama dalam dua tahun pertama penubuhannya, dan kini e2L sudah bersedia untuk memenuhi misinya.

e2L juga ditadbir oleh lembaga pengarah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan negara termasuk seorang bekas ketua pengarah Kementerian Pelajaran, bekas ketua setiausaha kementerian itu dan dekan universiti.

Pasukan pengurusannya kini turut dianggotai mereka yang berpengalaman luas dalam mengembangkan kurikulum prasekolah dan mentadbir institut latihan di bawah Kementerian Pelajaran.

"Saya mungkin nampak muda tapi mereka yang memberikan saya nasihat dan bimbingan ialah mereka yang kompeten dan mempunyai minat mendalam terhadap apa yang mereka lakukan," kata Farah Mahami yang berusia 27 tahun.

Dan bagi Farah Mahami pengalamannya yang didedahkan dengan suasana belajar yang kondusif di zaman kanak-kanak dan remajanya selama 11 tahun di Australia, membuatkan beliau berazam untuk mewujudkan suasana dan peluang yang serupa bagi kanak-kanak di Malaysia.

"Bukan itu saja, dalam kalangan keluarga saya sendiri, suasana itu memang sedia wujud.

"Bayangkan ibu bapa saya akan membeli dua set buku setiap tahun pengajian saya dan sebelum peperiksaan, bapa saya mengambil cuti untuk mentelaah bersama saya," kata anak bongsu empat beradik ini yang berjaya menggenggam ijazah sarjana pada usia 21 tahun dan masih bercita-cita untuk mendapatkan PhD.

"Tetapi sebelum itu saya mahu melakukan apa yang saya minat dan prihatin seperti nasihat bapa saya. Saya mahu menggalakkan semua kanak-kanak didedahkan dengan konsep Belajar melalui Bermain ini," katanya.

-- BERNAMA

Kit Lipatan dan Doh

Belajar melalui bermain

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my
2010/04/20

e2L sedia persekitaran kondusif bagi perkembangan awal kanak-kanak

PENDIDIKAN berperanan penting melahirkan insan yang dinamik dalam semua aspek kehidupan selain menjadi wadah utama menjana anjakan paradigma setiap individu.

Umumnya, pendidikan disampaikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran, manakala hasilnya mestilah mampu melahirkan insan yang dapat mengguna pakai ilmu dipelajari di dalam kehidupan seharian.

Justeru, banyak kajian mengakui bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa, sekali gus bertindak sebagai pemangkin di dalam mencapai hala tuju yang disasarkan sesebuah negara.

Pengarah Eksekutif Educate To Learn (e2L), Farah Mahami Tan Sri Mustapha Kamal, berkata bertitik tolak daripada kehendak untuk melahirkan kanak-kanak yang tebal dengan ciri seorang pemimpin menjadi permulaan untuknya membina sebuah institut perkembangan awal kanak-kanak.

Melalui anak syarikatnya, Early Years Development Sdn Bhd dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan individu yang berminat memahiri kemahiran berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Institut yang tersergam megah di Damansara Perdana itu menawarkan pengajian peringkat diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak, sijil kursus asas pengurusan dan kursus kemahiran berkaitan dan sijil khas untuk latihan jurulatih serta Kem Bina Insan Guru.

“Istimewanya, pusat ini bukan francais tapi produk hasil idea pakar pendidikan tempatan, namun kami mengetengahkan semua pendekatan pembelajaran yang diyakini dapat membantu dalam perkembangan awal kanak-kanak,” katanya.

Katanya, e2L berpegang kepada prinsip belajar melalui bermain kerana sebagai insan yang dekat dengan kanak-kanak, dia sedar bermain adalah tugas utama seorang kanak-kanak.

“Pendekatan belajar melalui bermain mampu menggalakkan kanak-kanak untuk berintegrasi, berimaginasi, berdaya saing, berinovasi dan memupuk sikap ingin tahu bukan saja terhadap diri mereka tapi juga persekitaran.

“Kerana itu kami turut menyediakan bahan yang relevan untuk pengajaran dan pembelajaran awal kanak-kanak, selain menjadi hab kepada individu yang ingin mendapatkan latihan berkualiti sebelum bergelar pendidik serta pengasuh kanak-kanak,” katanya.

Farah Mahami berkata, e2L juga adalah syarikat membangun dan membekal produk serta perkhidmatan berkaitan perkembangan awal kanak-kanak yang bergerak dengan objektif untuk menyediakan persekitaran kondusif bagi perkembangan awal kanak-kanak.

Syarikat ini memfokuskan pembinaan perwatakan dan kecekapan kanak-kanak melalui kaedah pembelajaran berkonsepkan i-play yang berasaskan kepada pembentukan sifat keperibadian murni dalam usaha membangunkan masyarakat beretika dan berintegriti.

Bagi memudahkan penerapan nilai berkenaan, e2L menghasilkan produk i-play siri kotak permainan untuk pusat asuhan awal kanak-kanak dan salah satu daripadanya adalah kit kad lipatan dan doh hasil ciptaan guru tempatan, Mek Ramah Hassan.


“Kesemua produk pembangunan sumber berasaskan ICT dan pembelajaran khas untuk sektor pengasuhan serta pendidikan awal kanak-kanak dibangunkan anak syarikat kami, Intellect Enhance Sdn Bhd,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan keberkesanannya, perpustakaan permainan i-play turut dibangunkan. Program perpustakaan permainan yang diketengahkan i-play, e2L telah membantu membuka perpustakaan permainan yang dibiayai syarikat dan badan korporat dengan disokong Perpustakaan Negara Malaysia di kawasan luar bandar seluruh negara.

Sehingga kini, e2L sudah membantu membuka perpustakaan permainan i-play di penempatan Orang Asli termasuk di Desa Temuan, Bukit Lanjan, Selangor, Sungai Tiang, Taman Negara Royal Belum Temenggor, Kampung Semelor, Air Banun di Grik, Perak dan Kampung Orang Asli Sungai Bil, Slim River, Perak.

“Setiap perpustakaan akan dilengkapi peralatan i-play, manakala petugas di sana juga akan dilatih mengendalikan perpustakaan permainan untuk kemudahan kanak-kanak di pedalaman,” katanya.

Selain makmal yang menyediakan suasana belajar dan persekitaran sebuah tadika dengan murid sebenar untuk kemudahan pelajar e2L menjalani kemudahan amali, sebuah taska juga sudah dibuka untuk kemudahan ibu bapa yang ingin memberikan pendedahan teknik belajar melalui bermain kepada anak mereka.

“Di makmal, semua konsep i-play dipraktikkan khususnya untuk pelajar Institut Penyelidikan Awal Kanak-kanak e2L menjalani latihan praktikal mereka.

“Terbaru, melalui penubuhan pusat i-play pertama di Putrajaya yang menyamai suasana rumah, ibu bapa juga boleh menghantar anak berusia tiga bulan hingga empat tahun ke tempat kami dengan bayaran serendah RM350 sebulan,” katanya.

Menariknya, kanak-kanak di pusat i-play akan disogok dengan pelbagai program menarik bertujuan untuk memupuk sikap tanggungjawab dan nilai sukarelawan di dalam diri sedari kecil.

“Untuk itu, kami akan adalah program khas antaranya Pemimpin Minggu Ini, juga atur cara menarik termasuk jualan amal bagi menerapkan nilai murni kesukarelawan yang semakin terhakis di dalam diri generasi sekarang,” katanya.

Didedah suasana pembelajaran kondusif

MELIHATKAN kesungguhan anak bongsu kepada jutawan hartanah, Tan Sri Mustapha Kamal itu membangunkan perniagaan berasaskan pendidikan awal kanak-kanak menimbulkan tanda tanya, mengapa bidang ini yang dipilih.

“Saya tiada kelulusan di dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak tapi saya memang gemarkan apa juga perkara yang berkaitan si kecil.

“Pada saya, usia muda dan ilmu yang tidak seberapa sewajarnya tidak dijadikan penghalang untuk kita menceburi bidang yang diminati kerana minat itu sebenarnya banyak mempengaruhi tindakan serta usaha kita,” kata wanita berusia 28 tahun itu.

Kata Farah Mahami, sejak berusia 11 tahun dia dihantar bersekolah di Australia dan didedahkan dengan pembelajaran kondusif oleh persekitaran serta ibu bapa.

Kata lulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dan Etika Pengurusan dari Universiti Curtin, Australia itu lagi, ibu bapa adalah insan yang banyak memberikan pendedahan kepadanya mengenai pembelajaran kondusif.

“Sejak Tingkatan Satu, ibu bapa saya akan membeli dua set buku teks, datang ke Australia setiap kali sebelum peperiksaan dan bersama-sama mengulang kaji bersama saya dengan cara bercerita.

“Sejak itu, saya bertekad untuk memberi peluang sama kepada kanak-kanak lain dengan mendedahkan suasana belajar yang kondusif terutama kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman,” katanya.

Tuesday, June 27, 2006